Sunday, 30 December 2012

ANDA


"Tidak tertegak Islam di Bumi selagi masih belum tertegak Islam dalam diri"


Tahukah anda, manusia fitrahnya dilahirkan dengan sifat semulajadi yang menjadikan dirinya manusia. Sukakan kecantikan, kekacakan, kebaikan dan dalam masa yang sama manusia juga punyai sifat marah, tenang, gembira, proaktif, jujur. Inilah dinamakan sifat asasiyah insaniyah. Inilah manusia. Subhanallah. 

Sekarang saya nak mengajak pembaca sekalian menggunakan kebijaksanaan akal fikiran kurniaan Allah kepada anda untuk berfikir. Sekarang saya mempunyai dua bilah pedang ,sebilah pedang yang diberi kepada seorang tukang masak dan sebilah pedang lagi diberi kepada seorang penyamun, apakah sama kegunaannya?

Tentu sekali tidak samakan? Kalau diberi kepada tukang masak, chef akan guna untuk memasak di dapur, sedapnya kalau masak asam pedas, Namun kalau diberi kepada penyamun, tentu sekali tidak tenteram orang disekitarnya, rasa terancam bukan?

Justeru, seperti itu juga sifat-sifat yang kita miliki, andai diletak di tempatnya, betapa amannya dunia. Oleh itu Allah mengutuskan Rasulullah saw untuk menyempurnakan akhlak yang sedia ada. Rasulullah saw contoh teladan terbaik umat sepanjang zaman. Peribadinya, tuturnya, senyumannya malah dikatakan bahawa baginda seperti al-quran yang berjalan.

Penerapan akhlak islamiyah ke dalam diri manusia menjadikan manusia insan yang mulia, hidup berteraskan satu perkara, mengesakan Allah, tiada yang lebih penting baginya melainkan Allah dan rasulnya. Bila kita cita-citakan dunia, hanya dunia sementara hasilnya.Namun, kalau cita-citakan akhirat, dunia dan akhirat hasil tuaiannya.

“Dan kehidupan dunia itu melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al-anaam:5)

Manakan tidak, seseorang mukmin akan bersungguh-sungguh melakukan setiap pekerjaan, kerana baginya setiap perlakuannya, tindak tanduknya adalah ibadah untuk mendapatkan redha Penciptanya. Lihatlah bagaimana Islam telah mengindahkan dunia ini dengan pelbagai kesenangan dan segala yang baik itu datangnya dari Islam. 

Masih ingatkah lagi Ibnu Sina, al-Khawarizmi, Ibnu Firnas di zaman kerajaan Abbasiyah yang menciptakan pelbagai alatan canggih berpandukan al-Quran.Lihat pula para sahabat dan salafussoleh, segala tindak tanduk dan perkataan junjungan besar Nabi SAW dituruti. Kita diasuh, dididik untuk berakhlak mulia, menuruti undang-undang Allah yang paling tertinggi berbanding undang-undang lain. Inilah impian kita.

 Lihatlah sekeliling kita,  saudara seakidah diancam, dibunuh, sedangkan kita dikurniakan kalam Allah sebagai panduan. Sayangnya kita tidak mengamal dan jauh sekali ingin meninggikannya.

Tidak akan tertegak Islam di Bumi selagi mana masih belum tertegak Islam dalam diri. Justeru, tunggu apa lagi, genggam erat kalam Allah buatmu, bacalah, amalkan, semuanya untuk kamu wahai manusia yang selalu alpa dan leka dengan dunia.

Mari kita renungkan ayat ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu yang berpaling tadah dari agamanya,maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia. Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gaga terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya,lagi meliputi PengetahuanNya” (Al-Maidah :54)

Dunia ini hanyalah tempat persinggahan, tempat setiap insan itu diuji amalnya, semoga pengakhiranku Husnul Khotimah iaitu pengakhiran yang baik. Ayuh, didik dirimu, nafsumu.
Selamat bermujahadah!