Saturday, 9 May 2015

Assalamualaikum, Ibu


     Aku pandang luar jendela. Aku seka air mata yang jatuh.
Matahari tidak bersinar terang, cuaca redup, angin berpuput lembut, sayu. Sepertinya mengerti kesedihan hati ini. Fikiran aku jauh menerawang. Jauh ke tanah air tercinta barangkali.

******

"Assalamualaikum, Ayu. Lama anak ibu tak telefon ibu. Ibu rindu benar pada Ayu. Ayu sihat? Ayu sibuk ya?" lembut suara ibu bergema dalam talian. Dengan tenang suara itu meresap ke gegendang telingaku. Aku hela nafas. Senyum dilirik sesaat. Cuba nampak manis, walau hakikatnya ibu tak nampak senyum itu. 
"Waalaikumussalam, ibu. Ayu sihat alhamdulillah. Macam biasa saja ibu. Sibuk dengan kelas, pagi sampai petang. Maaf sebab Ayu tak sempat nak call ibu." Rasa seperti menipu. Aku tidaklah sesibuk mana pun, tetapi menyibukkan diri hingga terlupa tanggungjawab sebagai seorang anak.
"Tak apa lah. Ibu faham adat orang belajar. Study semua ok?" tanya ibu lagi. Prihatin.
"Study tak ada masalah. Semua ok," acuh tidak acuh aku jawab.
Ibu menyoal lagi, "Anak ibu dah makan? Kawan-kawan bagaimana? Solat tinggal tak?"
'Banyak betul soalan ibu ni' getus hati kecilku.
"Dah makan, ibu. Life kat sini baik semuanya. Solat pun tak tinggal," kemalasan aku menjawab soalan ibu. Penat barangkali. Baru usai keluar dengan kawan, mahu rehat rebahkan badan, tapi tiba-tiba saja telefon berbunyi.

Ibu hela nafas, berat. Tersekat-sekat. Ibu sambung bicara,
"Tak mengapalah anak ibu. Ibu cuma mahu dengar suara Ayu saja. Dapat dengar sekejap pun dah cukup."
Aku senyum. Sedang ibu tak nampak senyumku itu. Ibuku bukan lah pandai bab teknologi. Diajar whatsapp, tak lama lepas itu lupa. Diajar guna Skype, juga sama. Abah lebih kurang juga. Hanya telefon menjadi perantara, hanya suara.
"Sekejapnya ibu call Ayu," aku balas pantas. Terdetik rasa bersalah kerana layan seperti tidak mahu layan saja.
Ibu bicara gembira,"Ibu cuma nak tahu anak ibu sihat atau tak. Dah dapat dengar suara, cukuplah, lega. Tak mahu ganggu Ayu lama-lama. Ibu letak dulu ya. Assalamualaikum anak ibu."
"Waalaikumussalam. Ibu jaga diri," aku tuturkan amanat untuk ibu, tapi entah bermakna atau cukupkan syarat semata. Perbualan tamat.

******

     Buku terjatuh. Angin kuat menolak langsir lalu terkena susunan buku di tepi tingkap. Lamunan terhenti. Aku tunduk angkat buku. Susunkan kembali, biar kemas. Perbetulkan dudukku. Kembali membuang pandangan keluar jendela.

******

     "Assalamualaikum anak ibu. Ayu sihat?" ibu bertanya khabar seperti biasa.
     "Waalaikumussalam ibu. Sihat. Ibu sihat?" aku jawab lembut.
     "Ibu sihat alhamdulillah. Kadang-kadang sakit tu biasalah. Dah berusia. Ayu dah makan?"
Itulah ibu. Tidak pernah bicaranya tentang dia. Semua tentang anak-anaknya.
    "Dah makan. Ibu, Ayu ada kelas sekejap lagi. Kita cakap lain kali ya ibu. Assalamualaikum," aku bergegas kerana punya urusan. Ibu sekadar mengatakan tidak mengapa. Usai ibu menjawab salam, aku putuskan talian. 

******

     Petir berdentum. Menyentak aku dari lamunan jauh. Hujan turun, lebat. Semakin lebat, semakin buat hati aku sesak, berat.
'Kau tangisi apa, Ayu? Tidak ada yang mampu kau sesali,' detak hatiku, buatkan air mataku makin laju. Aku sendirian, cari ketenangan. Sedang ketenangan itu akan hadir apabila kita mengingati Dia. Fikiranku kembali ke saat itu. Berita yang merentap seluruh jiwaku. Membuatkan aku hilang punca.

******

     "Assalamualaikum, Ayu. Abah ni. Ayu sihat?" bukan suara ibu kali ini. Tapi abah, pelik. Selalunya ibu lah yang kerap menghubungiku.
     "Waalaikumussalam abah. Sihat. Kenapa abah?" persoalan dariku mencari kepastian kerana jarang sekali abah yang menelefonku. Abah lebih memilih untuk ibu yang berbual denganku. Dia hanya di sisi ibu mendengar celoteh kami.
     "Ibu dah pergi. Ibu dah tiada, Ayu. Baru saja tadi ibu menghembuskan nafas terakhir."
Aku tersentak. Terduduk. Kaku. Tidak percaya dengan apa yang didengar. Mata sudah berkaca.
     "Abah tipu Ayu kan?! Ibu tak pernah nampak sakit. Kenapa tiba-tiba ibu meninggal dunia?!" tertinggi suaraku. Tak mampu ditahan. Aku sedih. Tidak mampu terima ketentuan itu.
     "Ajal maut itu letaknya pada tangan Allah bukan kita, Ayu. Perginya manusia bukan semata sakit atau kemalangan tapi kerana urusannya di dunia telah pun selesai. Sudah tiba masa untuk ibu kembali kepada Penciptanya," sayu suara abah, ada sedikit ketegasan menyedarkan aku tentang hakikat kematian itu. Hanya satu yang aku fikir tika itu, balik. Aku mengambil penerbangan paling awal dari Beijing ke Malaysia.

     Usai pengebumian ibu, abah dekati aku. Abah peluk aku. Rasa tenang. Tapi pelukan hangat ibu yang aku rindu kerana sudah setahun aku tidak pulang ke Malaysia.
     "Ayu, ibu sampaikan salam rindu pada Ayu. Arwah ibu pesan supaya Ayu jangan lupa Allah, belajar rajin-rajin, jaga diri di tempat orang," tenang abah sampaikan amanat ibu. Aku dengar dan angguk saja. Abah sambung lagi, "Arwah ibu juga pesan, sejauh mana Ayu melangkah, setinggi mana Ayu akan terbang, jangan pernah lupa rumput di bumi. Ingat pesan ibu."
Air mata aku jatuh. Ibu pergi tanpa aku di sisi. Jauh sekali dari sangkaan aku.
     "Abah, nanti Ayu dah tak dapat dengar suara ibu call Ayu tanya khabar. Ayu rindu," makin sesak nafasku menahan sebak.
     "Ibu selalu cakap pada abah, Ayu susah nak telefon kami. Ibu tak marah, ibu tak kisah, tapi ibu sedih. Ibu sebenarnya mahu sekali sekala dengar Ayu yang telefon ibu dahulu. Mahu dengar Ayu yang katakan 'Assalamualaikum' , bukannya dia. Dia mahu Ayu yang bertanya khabar dia, bukan sebaliknya," lemah suara abah bicara. Abah seka air mata sekali sekala. Abah kuat. Hati aku rasa terpukul. Kata-kata ibu abah betul. Selama ini aku mementingkan diri. Benar kata ibu dalam pesan akhirnya, jangan lupa asal-usul kita. Aku yang sebenarnya sudah lupa siapa aku.

******

     Sudah sebulan ibu meninggal dunia. Mahu disesali pun sudah tiada guna. Hanya mampu berdoa kepada Allah supaya Allah ampuni dosa ibu, dan ibu ampuni dosaku. Tiada lagi 'Assalamualaikum, Ayu' yang akan kedengaran.
'Ibu, Ayu minta maaf. Ayu lupa tanggungjawab seorang anak,' hati kecil sebak.
Jauh langkahan aku, membuatkan aku melangkah jauh dari ibu.

Aku tutur seorang diri, "Assalamualaikum, ibu."
Salam yang ibu tidak sempat dengar dari bibir aku. Aku tarik nafas, sedalamnya. 

Moga tenang wahai ibu.

=================================================================

Firman Allah SWT :
"Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya, ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepadaKu kembalimu."
                                                                                                          (QS Luqman : 14)

Dari Abu Hurairah radhiyallaahu ‘anhu, belia berkata, “Seseorang datang kepada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Dan orang tersebut kembali bertanya, ‘Kemudian siapa lagi?’ Nabi shalallaahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Ibumu!’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi?’ Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali, ‘Kemudian siapa lagi,’ Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam menjawab, ‘Kemudian ayahmu.'” (HR. Bukhari no. 5971 dan Muslim no. 2548)

Betapa tinggi darjat ibu di sisi Allah SWT. Hargailah sementara Allah masih memberi pinjaman itu kepada kita. 

SELAMAT HARI IBU , untuk ibu seluruh dunia.