Kesihatan

KEPENTINGAN LOSYEN DAN PELEMBAB BIBIR

Peratusan kelembapan di Beijing kurang daripada 10%, tidak sama dengan Malaysia yang mana peratus kelembapannya tinggi sekitar 93%. Daripada statistik tersebut, terdapat beberapa masalah biasa yang dihadapi oleh pelajar Malaysia yang belajar di luar negara.

"Haish! Tak pernah aku guna losyen sebelum ini...."
"Buat apa nak pakai losyen semua ni? Pelembab bibir bagai. Macam perempuan je."
"Tak biasa lah pakai pelembab bibir ni..."

Berikut merupakan dialog biasa pelajar sama ada lelaki atau perempuan yang belum peka akan kepentingan menyapu losyen dan memakai pelembab bibir. Dengan peratusan kelembapan yang sangat rendah, anda akan mendapat simptom kekeringan kulit, gatal-gatal, ketidakselesaan dan mungkin akan menyebabkan luka akibat kulit terlampau kering. Justeru, adalah penting untuk menyapu losyen sentiasa terutama selepas mandi agar kulit dapat menyerap vitamin dari losyen tersebut. Begitu juga dengan pelembab bibir, kekeringan udara di sini akan menjadikan bibir kita kering dan akhirnya luka merekah dan boleh terkena ulser mulut. Jadi rajin-rajinlah menggunakan losyen dan pelembab bibir ya!

UBAT-UBATAN BEIJING

Untuk pengetahuan semua, negara China membahagikan ubat-ubatan kepada dua jenis, iaitu Western medicine(xiyao, 西药) dan ubat herba (zhongyao, 中药).Bagi rakyat Malaysia yang tidak pernah menggunakan ubatan herba, badan kita mungkin memberikan respon berbeza mengikut tahap imunisasi badan masing-masing. Jadi, nasihat doktor adalah penting untuk pengambilan ubat-ubatan yang sesuai. Dan jika ada mempunyai penyakit tertentu, sila bawa ubat yang mencukupi untuk kegunaan di China. Pemakaian mask amat digalakkan kerana tahap jerebu di Beijing sangat tinggi.

AKSES HOSPITAL

Khidmat kesihatan di Beijing amat berbeza dengan khidmat di Malaysia. Layanan yang diberikan kepada pesakit tidak seperti yang kita harapkan. Di BLCU, sekiranya pelajar ada masalah kesihatan, bolehlah ke Hospital BLCU terletak berdekatan BLCU International Student House Building 17. Pelajar akan diberikan kad kesihatan. Sekiranya mengalami masalah kesihatan yang serius, pelajar boleh juga ke Hospital Beiyisanyuan atau Hospital Haidian.

Bayaran perkhidmatan kesihatan di Beijing tidaklah semurah hospital kerajaan di Malaysia, ianya standard bayaran hospital swasta. Jadi, amalkan gaya hidup sihat dan berwaspada supaya tidak mengalami sakit yg serius atau kecederaan teruk.